Monday, June 24, 2013

Jangan pandang yang buruk itu..BURUK

Assalammualaikum

Sharing is Caring...   :)

*********************
'Jangan pandang yang buruk itu buruk, yang jahat itu jahat.' Apa maksud di sebalik ayat ini? Jangan pandang yang buruk itu buruk dan yang jahat itu jahat? Huraian sangat-sangat diperlukan dalam menceritakan maksud di sebalik ayat ini. Mana mungkin yang jahat tak dipandang jahat dan yang buruk tak dipandang buruk pasti hati kecil berkata begitu.
Benar, agak sukar untuk kita menafikan keburukan dan kejahatan yang sudah jelas lagi nyata di hadapan kita. Jadi untuk apa kita mengubah cara pemikiran semata-mata mengaburi hal tersebut? Tapi cuba fikir semula dan menilai, sejauh manakah kita layak untuk menilai dan menghukum orang lain? Sejauh manakah kita sempurna dan baik dari pandangan orang lain?

Jadi layakkah kita untuk menilai dan menghukum berdasarkan apa yang kita lihat sahaja? Layakkah kita untuk menghina orang buruk atau jahat yang kita kenal? Sempurnanya kita untuk melakukannya begitu, baiknya diri kita untuk menilai dan meletakkan nilai buruk pada orang lain. Jelas sekali kesempurnaan dan kebaikan diri kita amat-amat diragui.

Penerimaan tanpa syarat. Adakah ini mungkin ungkapan terbaik untuk kita yang masih samar-samar untuk melakukan perbuatan 'jangan pandang yang buruk itu buruk, yang jahat itu jahat' ? Atau mungkin kita perlu lebih lagi rasa dan fikiran kearah bersangka baik kepada orang lain? 

Bagi menjawab persoalan tersebut, mari kita sama-sama selami hati insan yang dianggap buruk atau jahat. Andaikan kita adalah insan tersebut. Tidak sakitkah hati kita apabila niat membantu kita disalah erti? Tidak layakkah orang jahat disayangi dan dikasihi? Tidak layakkah kesalahan lalu dimaafi? Selamanyakah seseorang yang jahat akan jadi jahat? Dan adakah selamanya seseorang yang baik akan jadi baik?

Dalam Islam juga menyatakan bahawa umat Islam disarankan memohon doa supaya kehidupan di akhiri dalam kebaikan bukannya di dalam kejahatan. Maka jelaslah bahawa tidak semestinya yang buruk dan jahat akan kekal selamanya begitu dan sebaliknya.

Manusia mudah lupa, benar sekali. Mudah benar manusia lupa dengan kata-kata 'manusia sentiasa berubah' baik dari hati, emosi, dan pemikiran. Jadi kenapa kita masih cuba menafikan bahawa manusia yang buruk dan jahat boleh berubah kearah yang lebih baik? Adakah sebab mereka pernah tersalah langkah, memilih jalan hitam?
'Kegagalan sebenar adalah kegagalan untuk mencuba', salahkah insan-insan yang telah menyesal mencuba untuk mengubah arah hidup dari yang buruk dan jahat kearah yang lebih baik? ' Kegagalan adalah kejayaan yang tertangguh', mereka gagal menuju kearah kebaikan satu masa dulu. Siapa tahu mereka lebih berjaya dalam mencari kebaikan pada masa sekarang selepas melalui kegagalan yang pernah dirasai. 

Mungkin segelintir insan yang tidak pernah melalui kesilapan  merasa mereka berjaya kearah kebaikan tapi sejauhmana pula nilai itu perlu diukur? Sifat lalai memang tak lari dari dalam diri manusia. Oleh itu, manusia disarankan untuk menilai perbuatan diri sendiri dan bukannya menilai orang lain. Jika manusia itu menilai perbuatan orang lain, maka jelaslah bahawa dia telah lalai dalam menuju kearah kebaikan untuk dirinya. Menuju kearah kebaikan untuk dirinya melalui tingkahlaku dan amalan sehariannya. Lalai dalam membentuk dirinya untuk jadi baik sekaligus gagal untuk melaksanakan perbuatan 'jangan pandang yang buruk itu buruk, yang jahat itu jahat'.


Disiarkan oleh
 
 

2 comments:

  1. tak semestinya orang yang jahat tu semua benda dia jahat, mesti ada bright side dia kan....

    ReplyDelete
  2. yup zura..siap kita nak anggap orang jahat dan tak layak dihargai. kesian

    ReplyDelete

loving me..loving you